Setelah bayi dilahirkan, penjagaan tunggul tali pusat perlu
diberikan perhatian utama oleh ibubapa. Walaupun cara penjagaannya
nampak mudah, tetapi jika tidak berhati-hati ia boleh mengundang bahaya.
Bersama ini disediakan panduan dalam hal penjagaan tunggul tali pusat
bayi anda.
Tali pusat atau umbilical cord
adalah saluran kehidupan bagi janin semasa dalam kandungan. Tali pusat
bayi baru lahir berwarna putih kebiruan-biruan. Setelah bayi anda
dilahirkan, doktor akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda. Di
tempat tali pusat melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang
tertinggal sepanjang 2cm ke 3cm.
Tunggul tali
pusat bayi anda akan gugur sendiri lebih kurang seminggu selepas
kelahiran. Apabila dia dilahirkan doktor akan menyemat tunggul itu
dengan penyepit plastik atau mengikatnya. Doktor anda akan menanggalkan
ikatan tersebut selepas sehari dua, apabila tunggul itu kering dan
tertutup.
Ia akan mengecut, menjadi hitam dan
gugur dengan sendirinya. Dalam pada itu akan terdapat luka kecil yang
akan pulih dan menjadi pusat bayi anda.
Langkah Panduan Penjagaan Tunggul Tali Pusat
1. Kelengkapan mesti ada sebelum cuci baki tali pusat bayi.
(Bekas air, Bebola kapas, Alkohol, Putik kapas, Kain barut bayi, Lampin pakai buang)
2.
Basuh tangan dengan air bersih sebelum memegang bayi. Anda juga perlu
pastikan tangan sentiasa bersih selepas menukarkan lampin.
3.
Dengan menggunakan bebola kapas, tuangkan sedikit alkohol yang diberi
oleh pihak hospital. Usapkan pada bahagian pangkal tali pusat termasuk
daerah sekitarnya dan lipatan-lipatan pusat dengan perlahan. Lakukan dua
kali sehari.
4. Kemudian sapu pada pangkal
tunggul tali pusat bayi anda. Pastikan sekeliling tali pusat disapu
dengan cecair itu. Lakukan dengan perlahan. Sebelum itu, pastikan tali
pusat bayi dalam keadaan kering jika anda baru sahaja memandikannya.
5.
Anda juga boleh menggunakan putik kapas untuk meratakan antiseptik di
sekeliling baki tali pusat bayi. Dalam pada itu, jika baki tali pusat
itu terkena air kencing atau najis, basuh dengan berhati-hati dengan
pencuci bayi pH neutral. Ia untuk mengelak sebarang jangkitan kuman
kepada baki tali pusat bayi anda.
6. Setelah
selesai menyapu antiseptik, pastikan barut bayi tidak mengenai tali
pusat. Juga pastikan keliling tunggul pusat sentiasa bersih dan kering
sebelum memakai barut.
7. Begitu juga dengan
penggunaan lampin pakai buang. Gunakan lampin khas untuk mengelak tali
pusat bayi ditutup (yang ada lengkukan di bahagian hadapan lampin). Juga
jangan lupa selepas dimandi pastikan tali pusat dikeringkan dengan
bebola kapas. Biarkan tali pusat kering seketika sebelum memakaikan
lampin dan pakaian.
8. Pastikan tunggul tali
pusat tidak ditutup rapat oleh barut bayi atau lampin pakai buang. Jika
kawasan itu menjadi lembab, ia memudahkan berlaku jangkitan. Ia akan
lebih cepat kering dan sembuh jika sering terkena udara.
9.
Adik sudah siap! Pastikan pakaian si kecil longgar supaya tidak
menganggu pengaliran udara di sekeliling tunggul tali pusat bayi.
Tanda-tanda tunggul tali pusat telah dijangkiti.
~ Demam panas
~ Lesu
~ Tidak mahu menyusu susu ibu
~ Tunggul tali pusat di sekelilingnya menjadi bengkak, busuk atau bernanah.
Jika terdapat tanda-tanda tersebut segera dapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Biasanya
tunggul tali pusat ini akan gugur dengan sendirinya antara 7 hingga 10
hari. Jangan lakukan sebarang guntingan atau potongan pada baki tali
pusat ini. Ini kerana dibimbangi akan berlaku pendarahan. Ini kerana
tali pusat bayi mempunyai hubungan dengan sistem salur darah dalam badan
bayi. Jik berlaku sebarang pendarahan yang banyak tanpa henti, segera
berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Dalam pada itu, untuk mengelak
sebarang jangkitan kuman kepada tali pusat bayi, sentiasalah menjaga
kebersihan iaitu kerap menukar lampin dan pastikan tali pusat dilap
sehingga bersih apabila terkena air. Pastikan bahagian keliling tali
pusat sentiasa kering.
Sumber dari: http://bidanbersalin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment